Tuesday, May 3, 2016

10 Bahasa Cinta



Susunan teks oleh : Roselinee Mohammad Radzi

Teks ini ditulis berdasarkan bahan dari Modul Belaian Fitrah oleh :
Puan Hajah Azlina Roszy Gaya Keibubapaan

  Bahasa Kebenaran 


Oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar (qaulan sadida)”. [An Nisa’:9]

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar (qaulan sadida).” [Al Ahzab:70]

Daripada 2 firman Allah di atas, menjadi hujah yang kuat bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa agar sentiasa menggunakan bahasa yang benar (qaulan sadida) apabila berkomunikasi dengan anak-anak.

Menggunakan bahasa yang benar bermaksud, menggunakan perkataan yang relevan dengan usia anak-anak. Berbicara dengan mereka perkara-perkara yang penting. Pastikan juga ibu bapa mengungkapkan hanya perkara yang benar sahaja dan tidak menipu agar matlamat komunikasi bersama anak-anak tercapai.

Sebaiknya apabila berkomunikasi dengan anak-anak, kita pastikan bahawa kita jelaskan kepada mereka dengan jelas serta berterus-terang menggunakan perkataan yang positif.


Bahasa Yang Mulia


“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut di dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia (qaulan karima).” [Al Isra’: 23]

Komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak adalah suatu hubungan dua hala dan akan memberikan kesal timbal balik. Jika sedari awal ibu bapa sentiasa menuturkan kepada anak-anak perkataan yang mulia, maka apabila anak-anak telah dewasa dan ibu bapa pula telah lanjut usia, mereka akan melayan kedua ibu bapa dengan bahasa yang mulia (qaulan karima) pula.

Menggunakan perkataan yang mulia (qaulan karima) adalah sentiasa memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan perkara yang betul dan baik. Apabila memanggil anak, panggillah mereka dengan panggilan yang baik dan mulia. Namakan mereka dengan nama yang maksudnya baik. 

Sentiasa memuliakan anak-anak dengan meletakkan nilai kemanusiaan kepada dirinya. Maksudnya, para ibu bapa hendaklah melayan mereka sesuai dengan umur dan kematangan mereka. Jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak-anak. Jika mereka gagal melakukan sesuatu perkara, beri mereka galakan dan harapan bukan cacian dan celaan.


Bahasa Yang Berbekas di Jiwa


"Mereka itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui apa yang ada di dalam hatinya. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas di jiwa (qaulan baligha).” [An Nisa’:63]

Qaulan baligha atau bahasa yang berbekas di jiwa boleh diterjemahkan juga sebagai bahasa yang efektif. Berkomunikasi dengan intonasi dan gaya bahasa yang betul sesuai dengan keadaan dan tepat pada waktunya sehingga mendatangkan keinginan untuk berubah atau melakukan sesuatu yang dikehendaki. Kata-kata yang datang ikhlas dari hati akan sampai ke hati juga.


Bahasa Yang Baik


“Tetapi janganlah kamu membuat perjanjian (untuk menikah) dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan kata-kata yang baik. (Qaulan ma’rufa)”. [Al Baqarah: 235]

  “Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik (qaulan ma’rufa). [An Nisa’: 5]

Daripada tafsir Ibnu Kathir: Maksud 'qaulan ma’rufa' adalah memberikan layanan yang baik, menggunakan tutur kata yang baik, menunaikan hak seperti memberi nafkah serta menjaga hubungan kekeluargaan.

Selain daripada itu, mengenali emosi setiap ahli keluarga serta menguruskan emosi dengan baik juga termasuk dalam mengucapkan kata-kata yang baik. Setiap ibu bapa seharusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengawal kemarahan agar komunikasi bersama anak-anak akan lebih berkesan. 


Bahasa Yang Lebih Baik


“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (ahsanu qaulan). Sungguh, syaitan itu (selalu) menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sungguh, syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia”. [Al Isra’: 53]

“Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia, laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat”. [Al Baqarah: 83]

Islam sangat-sangat menganjurkan kita mengucapkan hanya kata-kata yang baik dalam komunikasi seharian kita kerana setiap apa yang kita tuturkan bakal dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Oleh yang demikian, kita seharusnya berusaha untuk menyampaikan maklumat atau bercakap dengan baik dan sopan dalam apa jua keadaan baik dalam tenang mahupun ketika berselisih pendapat.


Bahasa Lemah Lembut


“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan perkataan yang lemah lembut (qaulan layyinan), mudah-mudahan dia sedar atau takut”. 
[Taha: 44]

Menurut tafsir Ibnu Kathir, yang dimaksudkan dengan 'qaulan layyinan' adalah  menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh orang yang mendengar dan menggunakan bahasa yang lembut.

Sentiasa memberikan maklumat yang tepat yang diperlukan oleh pendengar beserta bukti dan hujah yang benar. Berikan pengajaran bukan setakat ugutan dan ancaman.


Bahasa Motivasi


“Dan jika engkau berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lemah lembut (qaulan maisura).” [Al Isra’: 28]

Dari tafsir Ibn Kathir : Bahasa motivasi (qaulan maisura) adalah kata-kata yang mengandungi janji untuk meyakinkan seseorang. Namun ianya bukanlah janji-janji kosong sekadar menyedapkan hati atau sekadar ingin menyedapkan kata tetapi janji yang mudah dan mampu ditunaikan dengan tujuan untuk memotivasikan seseorang.


Bahasa Berhikmah


“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik” [An Nahl: 125]

Yang dimaksudkan dengan hikmah adalah kebijaksanaan.

Sebagai ibu bapa, gunakan kebijaksanaan dan kreativiti di dalam menyampaikan hujah dan galakkan anak-anak berfikir dan mengeluarkan hujah dengan bernas.

Bahasa Kejujuran


“Apabila kamu berbicara, bicaralah sejujurnya, sekalipun dia kerabat(mu) dan penuhilah janji Allah. Demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu ingat” .[Al An’am:152]

Apabila kita berbicara, perlu bagi kita berbicara dengan jujur dan adil di dalam perkataan dan tindakan. Anak-anak menilai kita setiap detik dan ketika dan mereka akan membuat keputusan samada kita konsisten atau tidak.

Bahasa Kemaafan


“Jadilah pemaaf, dan suruhlah orang mengerjakan yang maaruf serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”. [Al A’raf:199]

“Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka”. 
[Al Baqarah:159]

Anak-anak sentiasa melakukan kesilapan kerana itu fitrah orang yang kurang berakal (matang) yang sedang belajar. Maka, anak-anak adalah orang yang paling berhak mendapatkan kemaafan daripada kedua ibu bapanya.


1 comment: